DFP 1 Tips Tanaman - FERTIGASI GANTUNG - APA RASIONALNYA? - Sitnoolo.blogspot.com | sitnoolo.blogspot.com

Tips Tanaman - FERTIGASI GANTUNG - APA RASIONALNYA? - Sitnoolo.blogspot.com

Bawah Judul
inartikel
FERTIGASI GANTUNG merupakan satu kaedah tanaman secara fertigasi yang kini semakin popular dijalankan oleh beberapa petani secara komersil. Dalam aspek teknologi fertigasi terdapat Fertigasi Terbuka, Fertigasi Tertutup, Fertigasi NFT (Nutrient Film Technology), Fertigasi Rakyat, Fertigasi Bantal yang terkini adalah Fertigasi Gantung (Sila lihat foto diatas). Penulis telah melihat semua teknologi fertigasi tersebut dimana asas dan konsep sistem fertigasi yang digunakan adalah hampir sama. 

Teknologi fertigasi semakin giat diusahakan oleh pengusaha ladang dan pengeluar sayuran terutama sayuran jenis buah dan sayuran jenis daun. Hasil pengeluaran daripada teknologi fertigasi penulis lihat bukan sahaja petani dapat meningkatkan hasil dengan berganda tetapi kaedah penanaman tersebut dapat dipermudahkan, mengelak serangan musuh perosak dan pada masa yang sama kos buruh telah dapat dikurangkan. 

Bagaimana pun pengetahuan dan kemahiran petani perlu pada tahap maksima didalam teknik mengendalikan sistem fertigasi. Penulis dapati pada asasnya 'Fertigasi' atau pun 'Fertigation' adalah berasal dari dua perkataan Inggeris iaitu 'fertilization' dan 'irrigation'. Sistem Fertigasi ialah satu dari pada cabang hidroponik yang antara lain terdiri dari Sistem Titis Mikro. Fertigasi. 

Definasi Fertigasi adalah dimaksudkan dengan satu kaedah penanaman yang mana pemberian baja yang lengkap kepada tanaman diberikan dalam bentuk larutan dan disalurkan ke zon akar melalui sistem pengairan titis. Sistem fertigasi sudah mencapai inovasi apabila kerajaan cuba mengtransformasikan Pertanian ke arah Pertanian Moden. Dalam perkara ini sistem fertigasi secara gantung mula diperkenalkan terutama dikalangan petani komersil di Pahang dan beberapa negeri lain. 

Fertigasi secara gantung ini adalah sama kaedahnya seperti fertigasi biasa tetapi kaedah pelaksanaannya sedikit berbeza. Artikel malam ini saya menulis dalam "Sitnoolo" mengenai apa rasinalnya menggunakan teknologi fertigasi gantung sebagai satu analisa mudah.


Dalam membincangkan perkara ini sebenarnya apakah perbezaan diantara dua jenis fertigasi gantung dengan jenis fertigasi yang lain? Apakah tanaman yang sesuai dan boleh ditanam dengan cara fertigasi gantung? Apakan rasional dan risiko penanaman teknologi fertigasi gantung?. 

Penulis mendapati beberapa perbezaan antara Fertigasi Gantung dengan Jenis Fertigasi lain seperti ianya sesuai digunakan dikawasan rendah yang selalu kena bencana BANJIR atau kawasan kurang subur (Sila lihat foto disebelah). Ini kerana ia amat sesuai di bina jika tanah tapak projek sering dilanda banjir samada banjir kilat atau banjir musim terutamanya di negeri-negeri pantai timur pada hujung tahun. Kajian awal menunjukkan kos pembinaan awal fertigasi gantung amat tinggi dan boleh dikatakan hampir tiga kali ganda dari kos fertigasi biasa atas tanah. 

Mengikut tinjauan penulis, kos infra untuk menyiapkan struktur fertigasi gantung untuk sebanyak 1,300 polibeg adalah sekitar RM 50,000.00. Manakala kos untuk membina siatem fertigasi biasa dengan jumlah polibeg yang sama jumlahnya adalah hanya kos sebanyak RM 11,050.00 sahaja. Tetapi adakah hasil tanaman fertigasi gantung lebih daripada fertigasi biasa?

Ini merupakan perkara pokok bagi menjustifikasikan aplikasi sistem fertigasi gantung. Bagaimana pun penulis percaya dimana hasil tanaman cara ini sangat bergantung kepada pengurusan seorang peserta.


Fertigasi gantung merupakan satu dari kaedah menanam bahan makanan seperti sayuran dan ulaman dengan menggunakan polibeg yang digantung pada sistem para. Tinjauan penulis dibeberapa Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang dikelolakan oleh Jabatan Pertanian di Pahang seperti di TKPM Inderapura dan TKPM Pulau Manis di Kuantan amat membanggakan. 

Para-para yang dibina dengan cara menggunakan kayu dan dawai serta tali sebagai penyokong sering dilakukan. Polibeg dibantung dan tidak diletakkan di atas tanah seperti kaedah tertigasi terbuka biasa yang diamalkan oleh kebanyakan petani. Lazimnya fertigasi biasa menggunakan polibeg dan tidak mempunyai para dan hanya diletakkan dibawah sahaja. Jika da Struktur Pelindung Hujan (SPH) diatasnya maka para ini diikat dengan tiang SPH dan ini memberikan kelebihan daripada kesan air hujan masuk kedalam polibeg dan media tanaman (Sila lihat foto disebelah). SPH yang mempunyai bumbung diatasnya adalah kawasan agak ideal untuk sistem fertigasi gantung walau pun kosnya adalah tinggi. Cara menanam fertigasi gantung dikawasan terbuka juga amat praktikal dilaksanakan.


Kalau dahulu fertigasi gantung ini hanya dikatakan sesuai untuk tanaman jenis menjalar seperti timun kerana kurang penyelenggaraan seperti prunning tunas air. Ini kerana timun merupakan tanaman yang lasak dan kurang maintainance. Walau pun dikatakan teknik ini tidak sesuai untuk tanaman rock melon,terung dan cili tetapi kini ia sudah menjadi kenyataan ia sesuai ditanam dengan cara ini. 

Penulis dapati beberapa petani telah menanam terung bulat (eggs plant), Terung Panjang, Terung Hijau, Cili Besar, Cili Padi dan sebagainya (Sila lihat foto disebelah). Hasil tanaman ini malahan penulis dapati lebih tinggi berbanding denga kadeah konvensional. Kalau dahulu ada isu kesukaran untuk membuang tunas air jika kanopi berserabut atas trelis tetapi semuanya selesai dengan amalan agronomi baik dan menggunakan varieti yang sesuai. 

Bagi fertigasi biasa antara jenis tanaman yang sesuai ditanam ialah cili, melon, kobis,halia,tomato,strawberi dan banyak lagi. Tiada masalah pemilihan tanaman kerana tidak memerlukan para untuk mengantung kerana ia ditanam dibawah. Ada yang saya lihat sesetengah penguasaha fertigasi gantung menanam rock melon dan polibegnya digantung yang tentunya menyukarkan kerja membuang tunas air, manakala bagi fertigasi cili gantung pula ini adalah sangat tidak selamat apabila pengusaha melakukan aktiviti meracun. 

Masalah juga turut muncul, jika tiang sokongan timun fertigasi gantung yang dibuat tidak kukuh, akan menyebabkan struktur ini roboh dan merugikan pengusaha. Telah banyak kes, bahkan sehingga menyecah RM 200 ribu nilai kerugian untuk satu ladang.


Selain selamat dari bencana banjir, kerja-kerja meracun rumput juga mudah dan menjimatkan kos. Kalau menyembur racun rumput dipermukaan tanah ianya tidak akan menjejaskan tanaman yang bergantungan diatasnya.Kerja meracun adalah sensitif untuk penanaman sayuran singkat masa dan tanaman makanan yang lain. 

Menyembur racun selalunya kan membahayakan operator yang sedang menyembur racun jika langkah keselamatan TIDAK DIPATUHI. Fertigasi Gantung mampu mengelakkan daripada serangan binatang buas seperti babi yang menyodok polibeg untuk mencari makanan. Apa yang pasti adala teknologi fertigasi gantung dapat mengelakkan apa yang dikatakan sebagai 'Soil borne disease' atau serangan penyakit berpunca daripada tanah. 

Tetapi untuk pengetahuan penulis ingin menyatakan bahawa fungsi utama sistem fertigasi sememangnya mengelakkan 'soil borne diseases'. Sekiranya kawasan anda tidak mempunyai masalah banjir dan juga masaalah serangan binatang buas maka adalah tidak praktikal jika pekebun menggunakan kaedah sistem fertigasi gantung. Sebaiknya disyorkan membuat fertigasi biasa adalah sangat mudah dijaga dan melakukan penyelengaraan kerana tidak memerlukan tangga untuk mencantas dan menyembur racun pada pokok. Secara amnya fertigasi gantung ini merupakan sistem yang dapat meningkatkan pulangan pendapatan, sama seperti fertigasi biasa. 

Fertigasi gantung menawarkan satu lagi pilihan yang boleh untuk dilakukan atau diintegrasikan bersama seperti tanaman halia. Walaubagaimana, kos struktur kayu sokongan yang tinggi menyebabkan pulangan fertigasi gantung agak lewat atau lebih lama berbanding sistem fertigasi biasa. 

Pada penulis ada pilihan ditangan petani dimana sekiranya ada mereka yang berminat untuk menanam timun, terung panjang, terung bulat, petola dengan kaedah Fertigasi Gantung. Ianya hanya menjadi salah satu daripada beberapa pilihan yang ada di industri pengeluaran bahan makanan melalui sistem fertigasi. Semuga anda semua mendapat ilmu dan infomasi blog yang dibaca lebuh 250,000 orang sebulan. Wasallam !...



0 Response to " Tips Tanaman - FERTIGASI GANTUNG - APA RASIONALNYA? - Sitnoolo.blogspot.com "

Posting Komentar

close
Click here 2X Close X
kode iklan dfp
Selamat Datang